Bangunan Sekolah Arab Jerudong

(Bekas bangunan Sekolah Ugama Jerudong)

 

Sekolah Arab Jerudong Negara Brunei Darussalam mula ditubuhkan dengan nama asalnya Ma’had Islam Brunei Cawangan Kilanas. Sekolah ini ditubuhkan ekoran berlakunya kejadian kebakaran sebahagian asrama Ma’had Islam Brunei Tutong pada tahun 1994. Ini menyebabkan Ma’had Islam Brunei Tutong tidak dapat menampung keramaian penuntutnya untuk tinggal di asrama.

 

Maka atas hasil perundingan yang telah dijalankan, keputusan telah diambil di mana penuntut-penuntut yang tinggal di Daerah Brunei Muara telah dipindahkan bersekolah sementara di bangunan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nurul Bolkiah Kampong Kilanas pada 5hb. September 1994 dengan nama: Ma’had Islam Brunei , Cawangan Kilanas”.

 

Pada 1hb. April 1996, penuntut-penuntut tersebut telah dipindahkan pula ke bangunan lama Sekolah Ugama Beribi Gadong dan dikenali dengan nama SEKOLAH PERSEDIAAN ARAB BERIBI , GADONG. Disinilah ditempatkan penuntut-penuntut dari Persediaan 1 hingga Thanawi 1.

 


Bangunan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nurul Bolkiah Kampong Kilanas 

 

Disebabkan bilik-bilik darjah di bangunan sekolah berkenaan tidak mencukupi, maka dua buah kelas telah ditempatkan di bangunan baru Sekolah Ugama Beribi Gadong.  Guru Besar pada ketika itu ialah Ustazah Hajah Rusita Binti Yahya iaitu dari tahun 1996 hingga 1999. Pada bulan Ogos 1999 hingga Disember 2001 tugas Guru Besar dipegang pula oleh Ustazah Hjh Hamidah Binti Hj Abd.Rahman dan bermula dari 2 Januari 2002 hingga sekarang, tugas Guru Besar diamanahkan pula kepada Ustazah Hjh Fatimah Binti Hj Ahmad.

 


Bangunan Sekolah Persediaan Arab Beribi Gadong

iaitu bangunan lama bagi Sekolah Ugama Beribi

 

Pada 1hb. Januari 2000, kelas Thanawi Dua telah ditubuhkan yang mana menyebabkan bilik-bilik darjah di sekolah ini tidak lagi dapat menampung jumlah kelas yang ada. Sehubungan dengan itu, Jabatan Pengajian Islam yang dahulunya di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama telah memindahkan sebahagian penuntut dan pegawai/guru berpindah ke Bangunan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah di kilometer 2.5 Jalan Tutong pada 17hb. Januari 2000 dengan nama Sekolah Persediaan Arab Beribi Cawangan.

 

Sebanyak tujuh buah kelas telah digunakan bagi menempatkan sejumlah 135 orang penuntut, dua buah bilik darjah untuk menempatkan seramai 23 orang pegawai/guru dan sebuah bilik untuk Guru Kanan Pentadbiran.

 

Memandangkan Sekolah Persediaan Arab Beribi Cawangan adalah sekolah menumpang dan Sekolah Persediaan Arab Beribi Gadong telah ditempatkan di bangunan lama,  banyaklah kekurangan dan kesulitan yang terpaksa dan perlu dihadapi serta diatasi oleh pentadbiran sekolah ini seperti ketiadaan bilik sumber, bilik perpustakaan, makmal sains, bilik komputer dan seumpamanya. Semua ini memberi kesan ke atas perjalanan pembelajaran, pelaksanaan ko-kurikulum dan pentadbiran sekolah ini.

 

Sehingga tahun 2004 Sekolah Persediaan Arab Beribi Gadong mempunyai keramaian penuntut 105 orang dengan 4 buah kelas dan 22 orang tenaga pengajar, sementara bagi Sekolah Persediaan Arab Beribi Cawangan mempunyai keramaian penuntut 95 orang dengan 6 buah kelas dan 29 orang tenaga pengajar. Namun demikian pihak sekolah mengharapkan supaya satu masa nanti akan wujudnya sebuah bangunan kekal bagi Sekolah Persediaan Arab Beribi Gadong demi untuk kemajuan, keselesaan dan kecemerlangan yang lebih baik dan sempurna.

 

Akhirnya impian itu menjadi kenyataan apabila pada 3hb. Ogos 2004, Sekolah Persediaan Arab Beribi Gadong telah dengan rasminya berpindah ke bekas bangunan Sekolah Ugama Jerudong dan sekaligus ditukar kepada SEKOLAH ARAB JERUDONG atau dalam bahasa Arabnya                             


 (Al-Madrasatul Arabiah  bi Jerudong)

 
Make a Free Website with Yola.